Lets our Reading Be An Ibadah

Reading is not for pleasure
But for knowledge
Knowledge is not for decoration
But for Practice
Practice is not for people
But for ALLAH
So lets our Reading Be An Ibadah

Thursday, August 28, 2008

Pesanan Untuk Akhawat (2) - al-Maududi

Perkara kedua yang mesti difikirkan dan diusahakan sedaya mungkin oleh setiap akhwat ialah untuk mencorakkan diri, penghidupan peribadi, keluarga, masyarakat, akhlaq dan perjalanan umum mereka sesuai dengan ilmu-ilmu agama yang telah mereka perolehi melalui pembelajaran alQuran, alHadith, ilmu feqah dan penyertaan selainnya di dalam kursus-kursus pendidikan. Di antara kewajipan yang mesti diusahakan oleh setiap wanita Islam ialah memperkuatkan akhlaq mereka. Akhlaq mereka mestilah diperkuatkan sehingga mencapai satu tahap di mana apabila mereka telah mempercayai kebenaran di dalam sesuatu perkara, mereka akan terus berpegang kukuh dan istiqamah dengannya tanpa berganjak walaupun dalam kadar satu inci. Begitulah jua, apabila mereka menyakini tentang kepalsuan di dalam sesuatu perkara mereka akan terus menolaknya. Mereka tidak akan sama sekali cenderung kepada kepalsuan itu walau sedikit meskipun penolakan itu akan mendapat tentangan dan ejekan dari kalangan anggota keluarganya sendiri. Dalam hal ini, ibubapa dan suami mereka berhak menerima penghormatan mengikut kadar darjat masing-masing.

Walaubagaimanapun, kesemua hak-hak mereka ini tidak ada nilainya bila dibandingkan kewajipan kaum wanita terhadap Allah dan Rasulullah. Wanita Islam mestilah menolak segala bentuk ketaatan kepada sesiapa jua yang mahu membawa mereka ke jalan penderhakaan kepada Allah dan RasulNya. Mereka mestilah sanggup menanggung sebarang kemungkinan yang dihadapi di dalam perjalanan ini dengan kesusahan dan kepayahan. Semua ini diserahkan sebulat-bulatnya bertawakal kepada Allah dan penuh harapan menunggu balasan di akhirat nanti.

Demi Allah, sekadar mana pencapaian, perlaksanaan dan istiqamah serta keadilan hati dalam menerima kebenaran ianya akan memberi kesan baik yang sama tahapnya kepada rumahtangga dan anak-anaknya. Seterusnya akan berpeluang pula untuk memperbaiki rumahtangga-rumahtangga yang telah rosak di dalam realiti masyarakatnya. Demikianlah juga sebaliknya. Sejauhmana penyertaan dan sikap penerimaan wanita Islam terhadap tuntutan-tuntutan dari orang-orang dan pemerintahan yang zalim ke atas mereka supaya menyesuaikan diri dengan kerja-kerja yang bertentangan dengan syariat Allah, maka sebanyak itu jualah diharamkan keberkatan Islam dalam penghidupan mereka. Dia akan memberikan contoh yang buruk kepada rumahtangga, anak dan masyarakatnya kerana kelemahan iman dan kerosakan akhlaqnya.

No comments: