Lets our Reading Be An Ibadah

Reading is not for pleasure
But for knowledge
Knowledge is not for decoration
But for Practice
Practice is not for people
But for ALLAH
So lets our Reading Be An Ibadah

Wednesday, June 2, 2010

Syarah Usul 20: Islam Syumul (2)

Thursday, 27 May 2010 16:47 Abu Ridhwan.

Al-Imam as-syahid telah menjelaskan usul ini dan menerangkannya kepada setiap orang yang mempunyai kefahaman dalam banyak risalahnya. Beliau berkata dalam risalah muktamar kelima di bawah tajuk: "Islam Ikhwan Muslimin":

"Wahai saudara, izinkan saya menggunakan ungkapan ini. Saya tidak bermaksud bahawa Islam Ikhwan Muslimin adalah Islam yang baru, yang bukan dibawa oleh Saidina Muhammad saw dari Tuhannya. Saya maksudkan bahawa kebanyakan umat Islam di kebanyakan zaman telah mencabut sifat-sifat, ciri-ciri dan batas-batas dari Islam mengikut kemahuan masing-masing.

Mereka mempergunakan keanjalan dan keluasannya secara buruk. Sedangkan keanjalan dan keluasan itu adalah mempunyai hikmat yang tinggi. Mereka bertelingkah hebat dalam memahami makna Islam dan menanamkan gambaran Islam yang bermacam-macam di dalam jiwa anak-anak mereka, samada ianya hampir, jauh atau bertepatan dengan Islam pertama yang dibawa oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya. "

Di antara manusia ada yang memandang bahawa Islam hanya terbatas pada ibadat-ibadat zahir sahaja. Jika dia menunaikannya atau melihat ada orang melaksanakannya, beliau berpuashati dan mengira bahawa dia telah sampai ke puncak Islam. Inilah makna yang difahami secara meluas di kalangan umat Islam.

Ada di antara mereka yang memandang bahawa Islam hanya terbatas kepada berakhlak mulia, rohani yang bersih, memberi santapan falsafah kepada fikiran dan roh serta menjauhkan diri dari daki-daki material.

Ada pula yang Islamnya hanya terhenti kepada perasaan takjub kepada makna-makna

Islam yang hidup dan amali ini. Dia tidak memikirkan perkara lain. Ada golongan yang memandang bahawa Islam adalah sejenis 'aqidah yang diwarisi, amalan-amalan yang tradisi yang tidak diperlukan dan tidak boleh menjadi maju. Mereka menjadi jemu dengan Islam dan setiap perkara yang mempunyai hubungkait dengannya. Saudara boleh mendapati makna ini secara jelas di dalam jiwa orangorang yang berpendididkan barat yang tidak berpeluang untuk memahami hakikat Islam. Mereka tidak mengetahui sedikitpun tentang Islam, atau mengetahuinya dengan gambaran yang tercemar hasil dari pergaulannya dengan orang-orang yang tidak mengamalkan Islam secara baik dari kalangan umat Islam.

Di bawah jenis-jenis ini, terdapat lagi jenis-jenis lain yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang Islam. Hanya segolongan kecil sahaja di kalangan manusia yang memahami gambaran Islam yang sempurna dan jelas yang menyusun semua makna makna ini. Gambaran yang bermacam-macam terhadap Islam di dalam jiwa manusia ini menjadikan mereka berselisih hebat dalam memahami fikrah Ikhwan Muslimin.

Di antara manusia ada yang menggambarkan bahawa Ikhwan Muslimin adalah "tarikat sufi" yang mengambil berat dalam mengajar manusia tentang zikir-zikir, jenis-jenis ibadat dan perkara-perkara lain yang menjadikan seseorang itu ikhlas dan zuhud.

Ada pula yang menyangka bahawa Ikhwan adalah satu jamaah yang suka berbahas tentang masalah-masalah fiqh. Mereka hanya mementingkan untuk berpegang dengan beberapa hukum-hakam, berdebat padanya, mempertahankanya dan mengajak manusia agar berpegang kepada hukum-hukum tersebut. Mereka berbahas atau berdamai dengan orang yang tidak menerimanya.

Sedikit sahaja di kalangan manusia yang bercampur dan bergaul dengan Ikhwan Muslimin, yang tidak hanya mendengar semata-mata dan tidak mencabut dari Ikwan Muslimin Islam yang difahami oleh mereka. Lalu golongan ini mengetahui hakikat Ikhwan dan memahami dakwah mereka secara ilmu dan amali.

Kerana itu , saya suka bercakap kepada tuan-tuan yang mulia secara ringkas tentang makna Islam dan gambarannya pada jiwa Ikhwan Muslimin sehingga ia menjadi asas dakwah kita, kita berbanggga kerana bersamanya dan mengambil bekalan daripadanya secara jelas dan nyata.

Kami meyakini bahawa hukum-hukum Islam dan pengajarannya adalah syumul dan menyusun hal ehwal kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Orang-orang yang menyangka bahawa pengajaran ini hanya meliputi aspek ibadat dan rohani semata-mata adalah salah dalam sangkaan tersebut. Ini kerana Islam adalah 'aqidah dan ibadat, watan dan warganegara, agama dan negara, rohani dan amal serta Al-Quran dan pedang.

Al-Quran Al-Karim menyebut tentang kesemua perkara tersebut dan menganggapnya sebagai "otak dan hati Islam" serta mewasiatkan agar melaksanakan kesemua perkara tadi dengan sebaik-baiknya. Inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah swt:

Maksudnya:
"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (keni'matan) duniawi dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu". (Al-Qasas: 77)

Saudara juga membaca dalam Al-Quran dan juga di dalam sembahyang firman Allah swt tentan 'aqidah dan ibadat, maksudnya:
"Dan mereka tidak diperintah kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan agama dengan lurus . Jauh dari syirik dan kesesatan dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus". (Al-Bayyinah:5)

Saudara juga membaca firman Allah swt tentang kerajaan, kehakiman dan politik, maksudnya:
"Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka meneriama dengan sepenuhnya". (An-Nisaa': 65)

Saudara juga membaca firman Allah swt tentang hutang di dalam perniagaan, maksudnya:
" Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berhutang dalam tempoh yang tertentu, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana Allah telah mengajarkannya, maka hendaklah dia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu membacakan apa yang ditulisnya itu, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu membacakannya, maka hendaklah walinya membacakannya secara jujur. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang lagi mengingatkannya. Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil, dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik sedikit mahupun banyak sampai batas waktu membayarnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah hutang itu), kecuali jika ia merupakan perniagaan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu (jika) kamu tidak menulisnya. Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli, dan janganlah penulis dan saksi saling sulitmenyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian itu), maka sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasikan pada dirimu. Dan bertaqwalah kepada Allah, Allah mengajarmu, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu". (Al-Baqarah: 282)

Saudara juga membaca firman Allah swt tentang jihad dan peperangan, maksudnya:
"Dan apabila kamu berada di tengah mereka (sahabatmu) lalu kamu hedak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri (solat) besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat) Apabila selesai satu rakaat, maka diselesaikan sendiri satu rakaat lagi, dan Nabi duduk menunggu golongan yang kedua maka mereka hendaklah pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang golongan yang kedua yang belum sembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu. Dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus. Dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu memang sakit dan bersiap sedialah kamu". (An-Nisaa': 102)


Banyak lagi ayat-ayat yang menjelaskan tentang perkara-perkara di atas. Begitu juga dalam adab-adab umum dan hal ehwal masyarakat.
Begitulah Ikhwan berhubung dengan Kitab Allah, meminta ilham dan petunjuk darinya. Mereka meyakini kesyumulan Islam ini dan Islam mesti menguasai dan mewarnai setiap aspek kehidupan. Kehidupan mesti terikat dengan hukum-hukum Islam, berjalan dalam landasan prinsip dan pengajarannya dan merujuk kepadanya jika umat mahu menjadi umat Islam yang sebenar.

Tetapi jika hanya Islam di sudut ibadat semata-mata dan meniru orang bukan Islam dalam sudut-sudut lain, maka ia bukanlah umat Islam yang sebenar. Mereka samalah dengan umat yang disebut di dalam firman Allah swt. , maksudnya:

"Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang berbuat demikian kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab siksa yang amat pedih, dan Allah tidak lali terhadap apa yang mereka kerjakan". (Al-Baqarah: 85)



Dalam menerangkan tentang kesyumulan Islam untuk kesemua manusia dan pada semua masa, Al-Imam as-syahid berkata:

"Ikhwan Muslimin meyakini bahawa Islam adalah agama umum yang menyusun setiap aspek kehidupan sesuai untuk semua bangsa dan umat, pada setiap masa dan zaman.

Islam datang dengan membawa ajaran yang lebih sempurna dan tinggi dari menerangkan juziyyah kehidupan, lebih-lebih lagi dalam perkara yang bersifat keduniaan semata-mata. Islam hanya meletakkan kaedah umum (kulli) dalam aspek keduniaan ini dan menunjukkan kepada manusia kepada jalan amali untuk memperaktik dan berjalan di dalam sempadannya. Untuk menjamin kebenaran dalam praktik ini, Islam memberi perhatian penuh terhadap mengubat hati manusia. Ini adalah kerana hati merupakan sumber sistem, alat berfikir dan menggambarkan sesuatu. Islam menunjukkan kepada hati, ubat yang mujarrab yang membersihkannya dari belenggu hawa nafsu, menyucikannya dari daki-daki mencari keuntungan dan matlamat dunia, memimpinnya ke jalan yang sempurna dan mulia serta menegahnya dari kezaliman, kecuaian dan permusuhan. Apabila jiwa sudah betul dan bersih, maka setiap perkara yang lahir daripadanya adalah baik dan cantik. Sudah menjadi buah mulut orang bahawa keadilan bukannya pada nas undang-undang, tetapi pada diri hakim. Kadang-kadang ada undang-undang yang sempurna dan adil diberikan kepada hakim yang mengikut hawa nafsu dan mencari kepentingan. Lalu beliau melaksanakannya secara zalim dan tidak adil. Kadang-kadang ada undang-undang yang zalim dan mempunyai kekurangan diberikan kepada hakim yang mulia dan adil yang tidak menurut hawa nafsu dan tidak mencari keuntungan. Lalu beliau melaksanakannya secara adil, penuh kebaikan dan rahmat. Dari sini, jiwa manusia sangat diambil berat di dalam Kitab Allah. Jiwa-jiwa generasi pertama yang diwarnai oleh Islam menjadi contoh insan yang kamil. Kerana itu, tabiat Islam sesuai dengan setiap zaman dan umat dan mempunyai ruang yang luas untuk mencapai kejayaan dan keperluan manusia. Kerana itu juga Islam tidak menolak sama sekali untuk mengambil faedah dari setiap peraturan yang baik yang tidak bercanggah dengan kaedahnya yang menyeluruh dan dasarnya yang umum".


Rujukan: Syarah Usul 20: Hasan Al Banna.

No comments: