
Thursday, 27 May 2010 16:16 Abu Ridhwan.
Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Ia adalah daulah dan tanahair ataupun kerajaan dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.
Keterangan
Usul ini menegaskan tentang hakikat Islam yang penting iaitu: "Kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan". Hakikat ini amat jelas kepada orang yang mempunyai penglihatan dan dalil-dalilnya amat banyak dari Kitab dan Sunnah.
Walaupun begitu, hakikat ini dipandang ganjil oleh kebanyakan umat Islam ketika Imam Hasan Al-Banna memulakan dakwahnya. Ia dipandang ganjil oleh setengah persatuan-persatuan Islam. Mereka tidak menaskan bahawa dasar-dasar, matlamat dan ciri-cirinya di atas kesyumulan itu dan tidak mengambil wasilah-wasilah yang menggambarkan bahawa mereka mahu merealisasikannya di alam nyata. Ia dipandang ganjil oleh parti-parti politik kerana mereka memisahkan agama dari politik dan menganggap bahawa kedua-duanya adalah berlawanan dan tidak boleh bertemu.
Ia dipandang ganjil oleh setengah-setengah ulamak walaupun dalil-dalil kesyumulan itu ada di tangan mereka dan terbentang luas di depan mata mereka. Tetapi nas-nas itu tidak mendapati hati-hati yang memahaminya atau bumi yang subur untuk ia tumbuh dan berbuah.
Di tengah kemelut keganjilan ini, Al-Imam as-syahid menjelaskan tentang hakikat ini agar perhatian umat tertumpu kepada perkara tersebut. Beliau menggesa mereka agar menukarkannya kepada realiti yang amali. Beliau telah mencurahkan tenaga yang banyak untuk menanam hakikat ini dalam dalam jiwa-jiwa umat dan memujuk mereka agar menerimanya.
Sesiapa yang memerhatikan keadaan umat yang kehilangan punca pada waktu yang bersejarah tersebut akan mengetahui nilai usul ini dan bahaya kehilangannya. Di antara perkara yang menyerlahkan tentang nilai usul ini dalam tempoh yang penuh kemelut itu ialah fahaman buruk sekularisma telah meresap masuk ke dalam fikiran dan hati golongan intelektual yang terdiri dari setengah-setengah mahasiswa universiti, penulis dan penyair. Fahaman sekularisma mula bersarang dalam golongan ini, lalu mereka mengengkari kesyumulan Islam dan membataskan Islam dalam ruang lingkup syiar-syiar ibadat semata-mata, tidak lebih dari itu. Bagi mereka Islam tidak ada hubungan dengan politik, ekonomi, sosial dan semua aspek kehidupan. Umat terus tertidur dengan alunan itu, sehinggalah datang Al-Imam as-syahid mengejutkan mereka dan menyeru mereka agar bangkit dan bergerak untuk mengamalkan Islam bermula dari bersiwak hinggalah kepada berjihad. Beliau mengajak mereka meletakkan Islam di tempatnya yang sebenar tanpa mengubah atau menukarganti, tanpa mengurang atau menambah.
Dalil-dalil kesyumulan
Di sana ada terdapat dalil-dalil umum tentang kesyumulan Islam dalam semua perkara dan dalil-dalil lain secara detail. Di antara dalil-dalil umum ialah firman Allah swt. yang bermaksud:
"Dan Kami turunkan Kitab kepada kamu dengan menerangkan setiap sesuatu". (An-Nahl: 89)
Rasulullah saw bersabda kepada Qabilah Bani Syaiban bin Tha'labah ketika memperkenalkan diri baginda dalam berdakwah kepada qabilah-qabilah di Mekah, maksudnya:
"Kamu tidak menolak secara jahat jika kamu menyatakan kebenaran. Sesungguhnya agama ini tidak akan ditegakkan melainkan oleh orang yang meliputinya dari segenap sudut". (Seerah Nabawiyyah: Ibnu Kathiir: 2/163-169)
Apabila kita melihat kepada Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah, kita dapati banyak ayat-ayat yang menerangkan tentang 'aqidah, ibadat, akhlak, berhukum dengan hukum yang diturunkan oleh Allah swt dan kehakiman, jihad dan perjanjian, hal ehwal harta benda dan perniagaan serta berbagai-bagai bidang kehidupan. Firman Allah swt yang bermaksud:
"Diwajibkan ke atas kamu qisaas (bunuh balas) dalam (kes) orang yang mati dibunuh".
(Al-Baqarah: 178)
Maksudnya:
"Diwajibkan ke atas kamu berpuasa". (Al-Baqarah: 183)
Maksudnya:
"Diwajibkan ke atas kamu apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak , berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabat secara baik".
(Al-Baqarah: 180)
Maksudnya:
"Diwajibkan ke atas kamu berperang". (Al-Baqarah: 216)
Maksudnya:
"Apabila kamu bermu'amalah (Seperti berjual beli, berhutang piutang atau sewa menyewa dan sebagainya) tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya".
(Al-Baqarah: 282)
Maksudnya:
"Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba". (Al-Baqarah: 275)
Maksudnya:
"Dan hendaklah kamu memutuskan hukuman di antara mereka dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepada kamu".
(Al-Maidah: 49)
Allah telah mengengkari terhadap mereka yang mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dengan firmanNya:
Maksudnya:
"Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang berbuat demikian kehinaan dalam kehidupan duniadan pada hari Kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab siksa yang amat pedih".
(Al-Baqarah: 85)
Adakah cukup dengan kita hanya mengakui tentang kesyumulan Islam tanpa beramal dengannya?
Setiap orang yang melihat kepada petunjuk Rasulullah saw dan seerah salafussaleh, beliau akan dapati bahawa mereka beriman dengan kesyumulan Islam dan mempraktikkannya. Mereka mengambil wasilah-wasilah yang terdaya untuk mengubah kefahaman ini kepada realiti yang amali, yang mempunyai keperibadian, bukannnya terbatas kepada serban di atas kepala dan iman yang tersembunyi di dalam hati.
Sesiapa yang mengakui kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan, kemudian beliau membataskan kegiatannya dalam beberapa aspek sahaja, beliau mempunyai beberapa keadaan:
* Jika kemampuannya tidak cukup untuk melaksanakan aspek-aspek yang lain, maka beliau hendaklah membantu orang-orang lain yang beramal ('aamilin) dengan kesyumulan dengan sedaya upaya yang mungkin.
* Adapun jika beliau menghalang mereka dan menganggap bahawa aspek yang dilaksanakannya sudah memadai, serta tidak menghulurkan bantuan maka tidak syak lagi beliau adalah tercela.
* Jika kemampuannya mengizinkan beliau untuk memberi saham amali, dan beliau hanya berpada dengan satu aspek sahaja kerana mementingkan keselamatan dan kesenangan dan tidak mahu berpenat tenaga, maka beliau tidak selamat dan tidak mendapat kesenangan.
* Sesungguhnya berdakwah kepada kefahaman yang syamil dan beramal dengannya dan mengakuinya adalah asas dan yang lainnya adalah kecuaian.
* Jika tidak, tolong beritahu kepadaku wahai saudara, adakah kita telah menunaikan hak dengan sebenar-benarnya jika kita hanya berpada dengan mengetahui dan mengakuinya tanpa beramal dan berdakwah dengannya?
Rujukan: Syarah Usul 20: Hasan Al Banna.
No comments:
Post a Comment