Lets our Reading Be An Ibadah

Reading is not for pleasure
But for knowledge
Knowledge is not for decoration
But for Practice
Practice is not for people
But for ALLAH
So lets our Reading Be An Ibadah

Tuesday, June 26, 2012

Syarah Ushul Isyrin Imam Syahid Hasan Al-Banna; Islam Adalah Agama Universal (1)

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=204016146350554&set=a.198219183596917.51283.171132802972222&type=3&theater

Usul Isyrin adalah salah satu tulisan yang ditulis oleh Ustaz Hasan Al-Banna, dan merupakan buah tangan yang sangat penting, kerana kitab ini mengandungi beberapa perkara yang wajib dipercayai dan diketahui oleh setiap Muslim dan wajib diikuti dalam perilaku dan tindak-tanduknya; baik untuk menjalin hubungan yang erat kepada Khaliqnya dan untuk menjalin hubungan yang erat terhadap sesama manusia.

Bahawa dalam Usul Isyrin ini, imam Hasan Al-Banna menerangkan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku perselisihan pendapat (pertikaian) di dalamnya, terutama dalam hal-hal yang berkenaan dengan aqidah, kerana aqidah harus difahami sebagaimana yang terdapat di dalam Al-Quran Al- karim dan Sunnah An-Nabawiyah. Semoga dengan penjelasan ini setiap Muslim dapat memahami Islam sebagaimana yang patut difahami tanpa menambah atau menguranginya sedikitpun dari apa yang telah diturunkan oleh Allah dan disampaikan oleh Rasul-Nya saw.

Demikian juga dalam Usul Isyrin ini imam Hassan Al-Banna, Pengasas dan Al-Mursyid Pertama jamaah Ikhwanul Muslimin, menerangkan bahawa di dalam Islam terdapat hal-hal yang dibenarkan untuk berbeza pendapat di samping perkara-perkara yang tidak boleh berbeza pendapat tadi. Semoga dengan ini setiap Muslim itu mengetahui di mana tempat-tempat yang boleh berbeza dan tidak merasa ganjil bila berhadapan dengan perbezaan pendapat seperti itu.

Kepada para Ikhwan hendaklah membaca dan mengulang-ulang dalam tulisan ini sehingga boleh memberikan pencerahan, mehamami terhadap ajaran Islam dan mempererat ukhuwah terhadap sesama. Kemudian hal-hal yang telah diketahui dan difahami dari ajaran-ajaran Islam tersebut hendaklah diamalkan. Dan setiap amalan tersebut hendaklah dapat membentuk jiwa dan membina diri dalam suasana Islami; kerana beramal dalam usaha pembentukan peribadi adalah cara yang dapat membentuk jiwa. Inilah jalan yang dilalui oleh para sahabat nabi yang mulia kerana mereka beramal dengan apa yang diketahui.

Semoga Allah swt. memberikan hidayah-Nya, meredhai dan memberikan pertolongan-Nya kepada kita semua, sehingga kita dapat tetap teguh dan berkhidmat untuk agama Allah, dan semoga pula Allah mencurahkan rahmat-Nya kepada Al-Mursyid dengan petunjuk dan kebaikan dan menumbuhkan kepada ktia cinta pada pengorbanan dan jihad.

ASAS PERTAMA:

الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا فهو دولة ووطن أو حكومة وأمة, وهو خلق وقوة أو رحمة وعدالة, وهو ثقافة وقانون أو علم وقضاء, وهو مادة وثروة أو كسب وغنى, وهو جهاد ودعوة أو جيش وفكرة, كما هو عقيدة صادقة وعبادة صحيحة سواء بسواء

Islam adalah agama yang menyeluruh, merangkumi semua bidang kehidupan; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadah yang sah tidak kurang tidak lebih.

Keterangan:

Islam adalah agama Allah yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh kerana Islam diturunkan untuk semua manusia, ini jelas dibuktikan oleh firman Allah:

وما أرسلناك إلا كافة للناس بشيرا ونذيرا ولكن أكثر الناس لا يعلمون

"Dan kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada ummat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan". (Saba ': 28)

Islam adalah agama menyeluruh kerana mengatur seluruh urusan hidup manusia, mengatur segala sesuatu yang dilakukan oleh manusia dan perkara yang bersangkutan dengan apa yang mereka lakukan. Ini dibuktikan oleh firman Allah:

ما فرطنا في الكتاب من شيء

"Tiadalah kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Al-Kitab" (Al-An'am: 38)

dan firman Allah:

ونزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شيء

"Untuk menjelaskan segala sesuatu" (An-Nahl: 89)

Di atas dasar dan sifat-sifat Islam yang tetap dan tidak berubah inilah Al-Mursyid Hasan Al-Banna Rahimahullah berbicara dalam asas yang pertama ini untuk menjelaskan beberapa perkara-perkara yang terkandung dalam Islam. Dan penjelasan yang dibuat oleh Hasan Al-Banna ini diperkuatkan oleh Al-Quran, yang mana di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang berkaitan dengan undang-undang, yang berkaitan dengan ibadah, yang berkaitan dengan mu'amalat, jenayah dan seterusnya.

1. Islam adalah negara:
Islam adalah negara, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Hasan Al-Banna bahawa Islam telah menyentuh hukum-hukum yang menitik beratkan pada persoalan negara. Islam tidak terhad tentang hubungan manusia dengan Allah belaka, namun Islam juga menyusun hubungan antara sesama manusia, hubungan individu dengan jamaah, hubungan jemaah dengan jemaah yang lain. Jamaah ini pula memilih suatu sistem politik yang disokong oleh negara, manakala negara mempunyai seorang pemimpin yang dikenali dalam istilah fiqh sebagai imam atau khalifah.

Dan Islam telah menerangkan asas bagi sebuah negara, cara memilih khalifah, menerangkan hak individu terhadap negara, demikian juga hak negara terhadap individu. Dalam zaman moden ini kajian dan perbincangan yang lengkap dalam persoalan negara dan hubungannya dengan individu telah diperbincangkan dalam undang-undang institusi dan undang-undang institusi merupakan salah satu daripada cabang undang-undang. Negara (daulah) menurut pandangan Islam adalah negara fikrah; fikrah Islamiah. Oleh kerana itu daulah dalam Islam adalah daulah fikrah, bukan qaumiah (bermazhab), bukan jenis dan bukan iklim. Pemimpin negara dipilih melalui pemilihan oleh rakyat sesuai dengan syarat-syarat tertentu. Syarat-syarat ini tersimpul dalam dua sifat: kemampuan dan amanah.

Tujuan pemilihan dan pelantikan pemimpin dalam sesebuah negara adalah untuk melaksanakan syariat dan membimbing manusia untuk melakukannya. Kedudukan dan peranan individu dalam negara Islam adalah penting dan harus berfungsi, tidak boleh diendapkan dan diabaikan. Dan setiap individu harus bertanggungjawab terhadap perjalanan negara agar tidak menyeleweng dan bertanggungjawab terhadap pemimpin negara agar dapat menunaikan kewajibannya.

Atas dasar ini, setiap individu mempunyai hak untuk mengawasi, memberi nasihat, memberi petunjuk dan mengkritik, sebagaimana pihak kerajaan dan negara juga mempunyai tanggungjawab terhadap individu, bertanggungjawab dalam memberikan jaminan hidup yang baik dan selesa untuk mereka.

2. Islam adalah watan:

Islam adalah watan, sebagaimana yang diterangkan oleh Hasan Al-Banna. Maksudnya adalah bahawa Islam telah menerangkan pengertian watan, dan watan bagi seorang muslim adalah semua negara Islam (Darul Islam). Dan yang dimaksudkan dengan negara-negara Islam adalah seluruh iklim yang didiami oleh umat Islam atau terdapat di dalamnya orang muslim, kuasa dalam iklim tersebut adalah di tangan orang Islam dan mereka melaksanakan hukum-hukum Islam dalam iklim tersebut. Dan setiap individu muslim berkewajipan mempertahankan dan menghalang musuh dari usaha mereka yang ingin merampas dan menghancurkan Darul Islam. Kewajipan ini merupakan hak sebuah Darul Islam atas seoang Muslim.

3. Islam adalah umat:

Umat yang dimaksudkan oleh Hasan Al-Banna adalah suatu jemaah manusia yang disatukan oleh satu ikatan. Namun pada ikatan yang menjadikan mereka satu jamaah yang berbeza dari jamaah-jamaah lain, bersatu dan bertaut antara sesama mereka dan ingin hidup bersama secara harmoni iaitu ikatan aqidah Islam.

Islam ingin membangun dan membangkitkan suatu umat di atas asas aqidah Islamiah. Aqidah adalah ikatan yang paling kuat dan abadi. Setelah manusia terjalin dalam ikatan aqidah Islamiah, maka perbezaan jenis, bahasa atau iklim tidak lagi menjadi suatu halangan atau hal yang penting. Dengan aqidah Islamiah sahaja sudah cukup untuk membentuk suatu umat. Sementara itu, selain aqidah Islamiah maka tidak akan mampu membina dan menyatukan suatu umat. Dalam Al-Quran Allah berfirman:

إنما المؤمنون إخوة

"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara." (Al-Hujurat: 10).

Dan Firman-Nya lagi:

إن هذه أمتكم أمة واحدة وأنا ربكم فاعبدون
"Sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Aku Tuhan kamu, maka sembahlah Aku. "(Al-Anbiya: 92)

4. Islam adalah akhlak.

Islam adalah akhlak. Sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Hasan Al-Banna, maksudnya adalah bahawa Islam sangat memperhatikan dan menganggap penting akan akhlak. Perhatian Islam terhadap akhlak sangatlah jelas, kerana Al-Quran telah menyebutkan tentang contoh akhlak-akhlak yang baik, iaitu akhlak yang harus menjadi sifat seorang mukmin.

Al-Quran menyebutkan sifat-sifat ini dengan cara memuji, menyukai dan menyeru agar berakhlak dengan sifat-sifat tersebut. Al-Quran telah memuji Rasulullah saw kerana akhlaknya yang tinggi. Firman Allah:

وإنك لعلى خلق عظيم

"Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi-pekerti yang agung". (Al-Qalam: 4)

Dalam hadis juga dinyatakan:

انما بعثت لأ تمم مكاره الأ خلاق

'Saya (rasul) hanyalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'.

Dan diriwayatkan dari Aisyah ra, sewaktu beliau menerangkan akhlak Rasulullah saw berkata:

كان خلقه القران

'Akhlak Rasulullah ialah Al-Quran'.

Akhlak mempunyai kedudukan yang sangat penting dan asasi dalam dakwah ikhwan. Dan ikhwan sentiasa mewajibkan diri mereka agar selalu berakhlak Islami. Atas dasar inilah sangatlah keliru pada mereka yang mengatakan bahawa dakwah ikhwan hanya menitik beratkan pada permasalahan am belaka, dan seruan untuk berakhlak tinggi dan mulia sangat bertentangan dengan dakwah ikhwan.

Mereka yang menganggap demikian adalah kaliru dan salah, kerana akhlak merupakan bahagian dari dakwah Islam. Dan sangatlah tidak layak bagi ikhwan mengabaikan sesuatu yang dibawa oleh Islam. Selain dari itu kesempurnaan amal adalah bergantung kepada kesempurnaan maknawi (batin) dan akhlak yang tinggi dan mulia tergolong dalam pengertian maknawi yang dapat membuahkan amal yang soleh. Adalah sia-sia kalau kita hanya memperbaiki lahiriah manusia dan menuntut mereka supaya melakukan amal soleh sedangkan kita membiarkan batinnya berakhlak yang keji. Oleh kerana itulah, akhlak mendapat perhatian besar, dan jiwa seharusnya dididik dengan akhlak yang mulia.

Akhlak tidak terhad kepada persekitaran tetapi ia merupakan sifat-sifat mulia yang telah diketahui secara umum seperti berbicara dengan lemah-lembut, manis muka dan rendah diri. Bahkan medan akhlak sangatlah luas sebagaimana yang telah digambarkan oleh Aisyah sewaktu menerangkan akhlak Rasulullah saw 'Akhlaknya adalah Al-Quran. Oleh kerana itulah segala sifat yang mulia merupakan bahagian yang dituntut oleh Al-Quran untuk dilaksanakan.

Sifat sabar, teguh pendirian, tabah, jaga harga diri, benar, menunaikan janji, semangat tinggi, ikhlas dan sifat-sifat yang lain adalah termasuk sebahagian daripada akhlak yang tinggi dan mulia. Sementara perilaku yang bertentangan dengan sifat-sifat tersebut seperti keluh-kesah, hilang pertimbangan, ragu-ragu, nifak, hina-dina, dusta, penipu, berteriak, dan sifat-sifat keji yang lain adalah akhlak yang dituntut supaya ditinggalkan, dan harus dibersihkan darinya . Dan apabila setiap jiwa telah bersih dari akhlak yang keji ini dan terhias dengan akhlak yang tinggi dan mulia, maka seorang muslim akan mempunyai peribadi yang kuat, tangguh, mengutamakan yang hak, mempunyai pengaruh dalam hidup dan tabah dalam menghadapi pelbagai cabaran.

5. Islam adalah kekuatan:

Islam adalah kekuatan. Sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Hasan Al-Banna yang maksudnya adalah bahawa Islam menyeru kepada kekuatan. Seorang Muslim tidak boleh lemah. Pada hakikatnya, Islam memandang pentingnya kekuatan dan dengan jelas mengajak untuk mencari sebab-sebab yang membawa kepada kekuatan, firman Allah:

وأعدوا لهم ما استطعتم من قوة

'Dan siapkanlah apa saja kekuatan yang dapat kamu sediakan'. (Al-Anfal: 60)

Ayat Al-Quran di atas datang dalam bentuk yang sangat menarik, merangkumi seluruh jenis kekuatan, baik kekuatan yang dicapai pada saat turunnya Al-Quran atau pada masa-masa setelahnya. Sebagai perintah dan kewajipan tersedianya kekuatan pada umat Islam. Oleh kerana itulah umat Islam bertanggungjawab untuk melakukan dan mempunyai sebab-sebab untuk menjadi umat yang kuat, sesuai dengan masa dan tempatnya.

Dan kekuatan ini tidak hanya terhad kepada kekuatan senjata sahaja, tetapi juga merangkumi pada semua perkara yang boleh menjadikan seorang muslim kuat; seperti ilmu pengetahuan, kekayaan, syarikat dan lain-lain. Kerana apabila seorang Muslim kuat, maka umat Islam secara keseluruhan akan menjadi kuat pula.

Oleh kerana itu, untuk mencari dan mencapai kekuatan di zaman moden ini perlu adanya usaha seperti mempunyai ilmu pengetahuan; dengan menyediakan pelbagai bentuk, cara dan wasilah; mempelajari segala jenis perusahaan dan berbagai jenis ilmu seperti ilmu kimia dan fizik. Sebagaimana meliputi bidang lain seperti mendirikan kilang dan industri, melakukan experimen dan mempelajari ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh non muslim dalam bidang Meteri serta lain-lain. Oleh kerana itu, dapat kita katakan bahawa mempelajari perkara-perkara tersebut adalah fardhu kifayah atas umat Islam. Dengan kata lain, haruslah ada di kalangan umat Islam suatu usaha yang cukup untuk menunaikan tanggungjawab mencari sebab-sebab yang menghasilkan kekuatan pada umat Islam. Hal ini kita katakan sesuai dengan kaedah fiqh yang mengatakan:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

'Bila kesempurnaan sesuatu yang wajib terhenti kerana wujudnya suatu perkara yang lain, maka perkara tersebut adalah juga wajib'.

Selain itu pula, ada kekuatan jiwa, ahli dan kekuatan akal adalah termasuk dalam pengertian kekuatan yang harus dimiliki pada umat Islam. Oleh kerana itu, setiap Muslim wajib mencari dan melakukan pelbagai cara yang boleh memberikan kekuatan tersebut kepada dirinya.

Kekuatan jiwa dapat dicapai dengan iman; kekuatan anggota dapat dicapai dengan olah raga; senam menunggang kuda dan lain-lain; kekuatan akal dapat dicapai dengan ilmu pengetahuan. Oleh kerana itulah Hasan Al-Banna telah mewasiatkan beberapa perkara yang boleh memberi kekuatan jiwa, badan dan akal, iaitu dengan menyedari bahawa kebenaran memerlukan kekuatan. Ini adalah sunnah Allah dalam hidup.Karena itu pula, Islam tidak mengabaikan masalah-masalah kekuatan tetapi menuntut untuk semua guna dapat menjaga dan mempertahankan kebenaran yang dibawanya.

Jika kita mengatakan bahawa menyediakan kekuatan itu suatu perkara yang pasti dan wajib pada masa silam, maka kepastian dan kewajipan itu lebih penting dan urgen di zaman moden ini. Kerana umat Islam pada hari ini tidak ubah seperti serpihan roti yang dikerumuni oleh semut. Terdapat bangsa dan umat yang mengerumuni umat Islam ini, yang tidak mana hal ini tidak akan mampu dihalau dan disingkirkan kecuali dengan kekuatan. Dan Jamaah Ikhwan Muslimun sebagai jemaah duat (pendakwah) kepada jalan Allah, sebagai barisan hadapan bagi umat yang beriman, adalah barisan yang ingin menyedarkan umat Islam, sangat memerlukan kekuatan yang boleh digunakan untuk mencapai masalah ini. Kekuatan kita ini haruslah terjelma dalam bentuk kekuatan senjata, iman, ilmu dan kekuatan tanzim (organisasi).

Oleh kerana itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk mewujudkan kekuatan ini dan Allah akan menolong kita jika kita berusaha mencari sebab-sebab yang membawakan kepada kekuatan ini.
— with Abi Syaamil and Hafizuddin Hassim.

No comments: